Wednesday, 15 May 2013

Antara redha Allah dan redha guru.

Assalamualaikum

Hari guru bermula pada hari ini. Saya mahu kongsikan satu kisah di mana saya kenal dan pentingnya redha seorang guru.

Kisah ini berlaku ketika saya menduduki semester ketiga. Saya mempunyai hubungan tidak baik dengan pensyarah Bahasa Inggeris saya.

Saya paling tidak suka kelas petang yang dibuat pada waktu asar. Memenatkan dan mengantuk. Pada saya waktu petang adalah waktu untuk meluangkan masa di luar dan merehatkan fikiran. Tetapi saya tidak menyalahkan jadual yang telah disusun, mungkin ada sebab mengapa kelas dibuat pada waktu petang.

Pensyarah Bahasa Inggeris saya berpesan semasa hari kedua kelas pada waktu petang, "Datang ke kelas saya dahulu sebelum solat Asar. Nanti saya akan lepaskan kamu awal. Kamu solatlah selepas itu."

Kelas petang biasanya adalah pada pukul 4.20 sehinggalah 6.30. Disiplin saya adalah solat di awal waktu. Saya berasa tidak selesa dan tidak sedap apabila waktu telah masuk, tetapi saya masih buat kerja lain. Terima kasih atas didikan ayah yang menyuruh kami solat seawal umur 3 tahun.

Pesanan penyarah saya itu, tidak saya hiraukan. Saya solat Asar dahulu sebelum datang ke kelas. Saya kira sudah 3 kali saya melakukan sedemikian. Saya tahu dia marah. Dalam kalangan classmate, cuma saya sahaja yang berkelakuan sedemikian. Saya tidak peduli dia mahu marah atau apa sahaja. Pada saya solat itu melebihi segalanya.

Pesanan yang dia buat semasa awal kelas dahulu, saya melabelkan dia sebagai orang lebih pentingkan kelas dari solat.

Pada hari keempat kelas petang saya lewat, dia mula menegur saya, "Kenapa awak lambat?"

"Saya solat Asar tadi."

"Kenapa awak tak nak datang kelas dahulu baru solat?"

"Saya tak nak mati dalam keadaan tak solat."

"Kenapa awak cakap macam itu?"

"Saya tak tahu."

Selepas itu dia menghela nafas panjang lalu dia memberikan pesanan itu sekali lagi. Ya, pesanan yang sama seperti awal-awal kelas dahulu. Selepas kelas tamat, saya rasa tidak sedap hati dengan kata-kata saya terhadap pensyarah. Saya rasa saya telah melukakan hatinya lebih dari sebelum ini. Kelakuan saya itu ada classmate yang menyokong, ada classmate yang tidak suka dengan tindakan saya. Saya seperti menjawab!

Sebelum ini, saya tidak kisah pun apa yang dia rasa. Tetapi kali ini, saya betul-betul rasa tidak sedap hati. Saya meminta nasihat  sahabat saya, betulkah tindakan yang saya ambil ini? Mendahului redha Allah daripada redha seorang guru?

Sahabat saya berpesan, "Kau rasa Allah redha kalau kau melukakan hati seorang guru? Guru tak redha, Allah tidak redha juga. Tidak berkat ilmu kau nanti."

Secara kesimpulannya, selagi guru itu tidak melanggar perintah Allah, selagi itu kita wajib taat kepadanya. Pensyarah saya tidak melanggar perintah Allah. Dia masih melepaskan anak muridnya pada awal waktu pukul 6 petang supaya dapat solat Asar. Sedangkan kelas habis pukul 6.30 petang.

Saya pernah tertanya-tanya, mengapa dia tidak mulakan sahaja kelas pukul 5 petang dan lepaskan pada pukul 6.30 petang? Sama sahaja tempoh masanya, iaitu Satu jam setengah. Dipendekkan tempohnya.

Saya dapat tahu, dia mulakan kelas pada waktunya bukanlah kerana dia rela. Tetapi rumahnya jauh. Sekiranya dimulakan lewat, dia akan sampai lewat ke rumahnya. Takut tidak sempat untuk solat Maghrib. Saya meminta maaf tidak lama selepas itu. Dia mengaku bahawa dia tidaklah alim sangat, tetapi dia menjaga juga bab agama.

Dia pesan, "Mungkin saya tidak searif awak dalam sesuatu perkara. Tetapi, saya pasti awak lebih arif mana satu yang patut awak utamakan dan seimbangkan."

Saya termakan dengan kata-kata itu sebenarnya. Tindakan saya sebelum ini membuktikan saya tidaklah arif sangat perkara mana yang patut diutamakan. Namun, itu satu proses pembelajaran. Sekiranya makanan telah dihidangkan, lebih makan dahulu sebelum solat. Sekiranya mengantuk, lebih baik tidur dahulu sekejap sebelum solat. Sekiranya, ada kerja yang tidak dapat dielakkan, selesaikan kerja itu dahulu sebelum solat asalkan tidak sehingga habis waktu solat.

Ingat, redha Allah biarlah seiring dengan redha guru. Sama seperti ibu bapa juga. Redha Allah biarlah seiring dengan redha ibu bapa.

Guru pertama kita adalah ibu bapa kita (Sumber dari Google Image)


~Selamat Hari Guru~


2 comments: