Friday 29 January 2016

Manusia Pertama yang Mengukur Lilitan Bumi

Pada 2,200 tahun dahulu, seorang pustakawan dan saintis Perpustakaan Agung Alexandria, Eratosthenes (276 BC - 194 BC) telah menerima sepucuk surat dari Syene, sebuah wilayah di selatan Alexandria. Dalam surat tersebut, penulis memberitahu bahawa dia telah melihat pantulan wajahnya pada air dalam sebuah perigi dan rasa tertarik kerana kepalanya menghalang cahaya daripada menghala terus ke arah perigi. Penulis merasakan Eratosthenes mungkin tertarik juga dengan perkara itu.

Sumber gambar :
mcadamsmath.tripod.com


Eratosthenes melihat perkara sebagai sebuah idea yang baru. Daripada surat tersebut, beliau mengetahui bahawa matahari menegak di Syene dan penulis memberitahunya ia adalah pada waktu tengah hari. Di Alexandria pula, Eratosthenes melihat sebatang kayu terpacak agak condong bayangnya lebih kurang sebanyak 7.2 darjah.

Sumber gambar dari
http://www.geo.hunter.cuny.edu/~jochen/gtech201/lectures/lec6concepts/Datums/Determining%20the%20earths%20size.htm

Daripada bayang dan sudut darjah tersebut, Eratosthenes membuat satu kiraan. 360 darjah, iaitu darjah penuh bulatan, dibahagikan sebanyak 7.2 darjah. Dia mendapat jawapan sebanyak 50. Dengan bantuan pedagang yang ulang-alik antara Alexandria dan Syene, Eratosthenes mendapat jarak daripada dua kota itu sebanyak 500 batu (805 km). Jumlah jarak tersebut didarah dengan 50, akhirnya beliau mendapat kiraan lilitan Bumi. Erastosthenes mendapat 25, 000 batu. Kiraan sebenar adalah 24, 900 batu. Beliau hanya terlebih sebanyak 100 batu!

Pada waktu itu, tiada siapa yang tahu saiz bumi sehinggalah Eratosthenes menemui saiz lilitannya. Tiada teknologi canggih pada masa itu, just simple maths!

Asal-usul idea 'Renaissance'.

Latar Belakang

Renaissance sangat popular dalam kalangan masyarakat. Dikenali sebagai permulaan era kemajuan dan pembaharuan di Barat. Mungkin ramai tidak tahu hakikat sebenar kewujudan era tersebut seperti yang difahami oleh masyarakat. Ia menjadi polemik dalam kalangan sejarawan berkenaan idea Renaissance. Kita tidak akan menyelesaikan perbezaan tersebut, tetapi akan kita akan menjelaskan mengapa boleh berlaku perbezaan ini dalam konteks historiografi (penulisan sejarah).

Perbincangan asal-usul idea Renaissance lebih menumpu pada penuisan sejarah itu sendiri, kerana idea itu wujud secara signifikan dalam konteks tersebut. Samalah juga seperti idea 'Zaman Gelap' dan 'Zaman Pencerahan'.

Florence, Itali. Bandar kelahiran Renaissance


Evolusi Renaissance.

Perkataan 'Renaissance' berasal dari Perancis yang bermaksud 'kelahiran semula' atau 'pembaharuan'. Gerakan yang dikenali sebagai Renaissance ini bermula daripada seorang individu Itali yang bernama Francesco Petrarch (1304 - 1364) yang dianggap sebagai pencetus Renaissance. Petrarch merupakan seorang yang beraliran Humanis. Humanism berperanan membawa kembali kegemilangan paling tinggi yang pernah dicapai oleh tamadun manusia, sepesifiknya kegemilangan intelektual dan budaya ketika Zaman Rom dan Yunani. Kebanyakan sejarah awal Barat ditulis oleh kelompok Humanis. Pada kurun ke-17 hingga ke-19, barulah sejarah Barat ditulis oleh kelompok-kelompok lain seperti Rasionalis, Protestan, dan ahli falsafah.

Francescro Petrarch
Tradisi awal Humanis di Itali dalam menulis sejarah adalah secara umum. Kebiasaannya mereka menulis sejarah manusia bermula pada permulaan masa menurut tafsiran mereka sendiri. Pada waktu itu, ajaran Kristian sangat berpengaruh, maka sejarah manusia ditulis seawal penciptaan Nabi Adam a.s. Kandungan penulisannya juga dipengaruhi oleh teks-teks yang terkadung di dalam Bible dan lebih bercirikan keagamaan. Tujuan penulisan ini dalah untuk menjelaskan kerja Tuhan ke atas manusia sepanjang zaman.

Peringkat seterusnya, Humanis telah berevolusi dalam historiografi sehingga menimbulkan jurang antara penulis dari kelompok Humanis dan penulis sejarah yang biasa. Kini, Humanis lebih menumpukan peranan mereka dalam menulis sejarah politik dan ketenteraan. Mereka juga telah mengecilkan skop dengan hanya menulis mengenai sejarah negara mereka sahaja sejak kejatuhan Rom pada tahun 410 masihi. Mereka mula mewujudkan konsep pembahagian zaman seperti istilah 'Zaman Kuno' dan 'Zaman Moden'. Tentulah kita faham, tempoh yang ditetapkan untuk 'Zaman Moden' oleh mereka tentu tidak sama dengan tempoh yang ditetapkan oleh sejarawan kontemporari.

Antara sejarawan awal yang memulakan konsep sedemikian adalah Giovanni Villani (1276 - 1348) yang menulis mengenai sejarah bandarnya dan cuba untuk membina era-era yang betul untuk sejarah bandarnya. Walau bagaimanapun, Villani masih mempunyai unsur teologi dalam penulisannya. Beliau menulis sejarah bermula dengan peristiwa Kota Babel.

Giovanni Villani

Petrarch berperanan memperkenalkan istila era 'antiqua' dan era 'nova'. Era antiqua lebih dikenali sebagai 'Era Kuno' yang didefinisikan oleh Peterarch sebagai waktu sebelum kejatuhan Rom. Era Nova pula bermaksud 'Era Moden', tetapi Petrarch sering memanggilnya sebagai 'tenebra' yang bermaksud 'gelap' dan 'dibayangkan'. Beliau mula menukar idea historiografi yang berkonsepkan teologi kepada konsep kebudayaan. Penukaran ini merupakan sebuah tafsiran sekular dalam penulisan sejarah.

Leonardo Bruni (1370 - 1444) merupakan salah seorang Humanis pertama yang membahagikan sejarah kepada tiga zaman dalam penulisannya, iaitu Zaman Kuno, Zaman Pertengahan dan Zaman Moden. Tarikh yang didefinisikan oleh Bruni untuk ketiga-tiga zaman tersebut tidak seperti yang digunakan oleh sejarawan moden. Tetapi beliau telah mendirikan asas tersebut dalam historiografi.

Leonardo Bruni

Selain Bruni, Humanis lain seperti Flavio Biondo (1392 - 1463), Giovanni Boccaccio (1313 - 1375), dan Filippo Villani juga telah meletakkan garisan tertentu sebagai pemabahagian era-era dalam sejarah manusia. Biondo menandakan zaman sebelum kejatuhan Rom sebagai Zaman Kuno. Beliau melihat pembaharuan mula berlaku di Itali bermula pada tahun 1412 masihi. Maka, bermula dari 412 masihi hingga 1412 masihi menandakan Zaman Pertengahan menurut Biondo.

Merekalah sejarawan awal yang membahagikan zaman-zaman tersebut. Pandangan mereka mengenai Renaissance hanyalah terbatas pada peringkat kebangkitan intelektual dan seni budaya, bukan sebuah era yang mempunyai ciri unik yang mampu mencapai kelas seperti era Kuno ataupun era Pertengahan.

Pada kurun-kurun berikutnya, idea pembaharuan dan Humanism semakin tersebar luas ke negara-negara jiran seperti Perancis dan Jerman. Historiografi tidak mempunyai perbezaan ketara di negara-negara luar Itali kecuali Jerman yang tidak gemar membahagikan sejarah mengikut zaman. Idea Renaissance sebagai sebuah era tidak pernah berputik dalam tulisan-tulisan Humanis kerana ia hanyalah sebahagian daripada Zaman Moden.



Idea Renaissance

Kelompok Humanis merupakan kelompok awal yang menggerakkan idea Renaissance. Namun begitu, objektif gerakan mereka bukanlah menumpu ke arah pembaharuan sosio-budaya secara keseluruhan. Mereka hanyalah peminat karya-karya klasik. Mereka mencari dan mengumpulkan karya-karya tersebut. Mereka lebih kepada individualism daripada bersifat gerakan kelompok.

Aktiviti mereka dapat dijejak lebih awal daripada era Petrarh, tetapi tidak meluas. Selalunya yang masih mengekalkan dan menjaga teks-teks Rom dan Yunani dalah Gereja, itu pun tidak terlalu aktif. Aktiviti Humanis memberikan kesan pada pendidikan, sastera, kesenian, seni bina dan intelektual setempat di Itali.

Pada abad ke-19, ahli sejarah dalam kalanagn artis merupakan kelompok pertama yang mempopularkan idea Renaissance. Mereka telah melihat Renaissance sebagai sebuah era yang mempunyai ciri tersendiri. Ini tidak hairan kerana budaya seni mengalami sebuah kebangkitan dan pembaharuan yang pesat. Dalam sejarah politik, idea Renaissance masih lagi belum wujud.

Sejarawan Perancis, Jules Michelet (1789 - 1874) melihat Renaissance sebagai era yang mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia, bukan sekadar era kesenian dan intelektual. Dalam karyanya 'Le France' menyatakan, Renaissance mempunyai definisi yang luas sebagai titik tolak dalam sejarah Barat. Walaupun begitu, Michelet hanya menumpu pada sejarah Perancis pada kurun ke-16, bukan seluruh sejarah Barat. Selepas Michelet, John Addington Symonds (1840 - 1893) meneruskan idea Michelet dengan menulis karya sejarah Renaissance yang berpengaruh seperti The Renaissance, An Essay (1863) dan Renaissance in Italy (1886).

Jules Michelet
Sejarawan Swiss, Jacob Burckhardt (1818 - 1897), menghuraikan dan menyatakan bahawa Renaissance meurupakan keunci era dalam sejarah Eropah bermula dari Itali. Renaissance seperti yang dipaparkan oleh Burckhardt dalam karyanya, 'The Civilization of the Renaissance in Itali' merupakan pivot penting di mana budaya Eropah berubah menjadi budaya baru. Aspek penting mengenai perubahan ini adalah kebangkitan pengajian teks dan budaya kehidupan klasik lalu melahirkan Renaissance dan permulaan Zaman Moden. Kebangkitan di Itali pada waktu itu menjadi prototaip yang membentuk budaya moden di Barat.

Walaupun sebahagian Burckhardtian (pengikut Burckhardt) sebahagiannya mengubah konsep yang diketengahkan oleh Burckhardt sendiri, tetapi asas idea asal itu masih ada iaitu Renaissance sebagai era yang mampu berdiri sendiri. Penulis sejarah dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi, politik, sosiologi, psikologi dan falsafah yang bersetuju dengan aliran Burchkhardtian mendorong perkembangan idea Renaissance yang mencapah pelbagai aspek kehidupan manusia.

Jacob Burckhardt


Selepas itu wujud istilah 'Northern Renaissance' bagi merujuk Renaissance yang berlaku di negara-negara jiran seperti Perancis, Jerman dan England. Negara-negara tersebut mempunyai tafsiran tersendiri mengenai Renaissance, tetapi tidak lari daripada tiga asas utama. Pertamanya, Renaissance bermula dari Itali dan seterusnya tersebar ke utara lalu membawa perubahan kepada negara tersebut. Keduanya, kebangkitan budaya klasik yang menjadi faktor dominan. Ketiganya, Renaissance sebagai penanda pengakhiran tamadun zaman pertengahan dan permulaan dunia moden.

Okeylah, sampai sini saja. Perbahasan seterusnya akan ditulis pada entri akan datang yang akan menjelaskan tentang kelompok ahli sejarah yang tidak bersetuju dengan idea Renaissance.



Simbol Penyatuan Matematik, Seni, Agama, Falsafah dan Seni Bina


Latar Belakang

Gambar yang di bawah merupakan lukisan Leonardo Da Vinci (1452 - 1519), tokoh yang dikenali menguasai banyak bidang. Juga digelar sebagai 'The Renaissance Man'. Semasa kali pertama melihat lukisan ini, aku fikirkan ia adalah semata-mata lukisan yang memamparkan ilmu yang berkaitan dengan anatomi dan perubatan. Tetapi itu silap. Asal usul timbulnya lukisan ini bermula apabila ahli geometri pada masa itu mencabar mana-mana intelektul untuk memetakkan bulatan dengan keluasannya sama dengan keluasan segi empat sama.

Leonardo Da Vinci

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Da Vinci mendapat idea daripada nota seorang arkitek Rom, Marcus Vitruvius (75 BC -  selepas 15 BC). Vitruvius menyatakan bahawa navel (pusat) manusia merupakan pusat (centre) tubuh badan manusia. Daripada pusat tersebut, bulatan dapat dilukis dengan sempurna menggunakan kompas (kompas alatan matematik). Seterusnya, bentuk empat segi dapat dilukis mengikut tubuh badan seperti yang ditunjukkan pada gambar. Akhirnya, bentuk segi empat dan bulat dapat keluasan yang sama. Lalu, terhasillah lukisan Vitruvian Man pada tahun 1490 masihi.

Vitruvian Man


Chain of Being

Ceritanya tidak habis sampai di situ. Terdapat perkara yang menarik tersirat disebalik Vitruvian Man. Ketika Zaman Renaissance, terdapat gerakan intelektual di Itali yang dikenali sebagai Neo-platonism yang mengemukakan konsep 'Chain of Being'. Idea ini menyatakan, hierarki kehidupan alam menyerupai seutas rantai. Rantai tersebut bermula daripada Tuhan, kedudukan tertinggi, seterusnya malaikat, planet, haiwan sehinggalah bawah sekali, syaitan. Manusia berada di tengah-tengah pada rantai tersebut. Manusia berada di tengah-tengah kerana sifat tubuhnya yang binasa tetapi rohnya tidak.

Chain of Being

Seorang tokoh Neo-platonis, Giovanni Mirandola (1463 - 1494) mempunyai idea yang berbeza berkenaan konsep tersebut. Beliau menyatakan manusia mampu berada di mana-mana kedudukan pada rantai tersebut. Manusia berada di posisi bawah dengan melakukan kejahatan seperti syaitan. Manusia juga mampu berada di posisi atas dengan melakukan kebaikan seperti malaikat.

Jadi, apa kaitannya dengan lukisan ini?


Simbol Penyatuan

Vitruvian Man mampu berubah-ubah untuk membentuk suatu bentuk yang dikehendaki. Apabila tubuhnya berdiri tegak dan dibuka tangannya, dia dapat membentuk segi empat. Apabila dia membintangkan dirinya, dia dapat membentuk bulatan. Sama seperti idea yang diusulkan oleh Giavanni yang menyatakan manusia boleh berubah-ubah.

Sekiranya geometri (matematik) adalah bahasa alam, maka manusia boleh wujud daripada apa sahaja bentuk daripada elemen matematik. Sama ada wujud secara matematiknya ataupun falsafahnya. Daripada lukisan ini, jelas menunjukkan gabungan beberapa idea keilmuan, iaitu falsafah, matematik, kesenian, seni bina dan agama.

Thursday 28 January 2016

Fizik di Sebalik Lukisan Van Gogh

Salah satu cabaran sukar yang dihadapi oleh fizik adalah menjelaskan pergerakan gelora (turbulence) dalam subjek gerakan bendalir (fluid dynamics). Bendalir merujuk pada air dan udara. 

Vincent Van Gogh


Fenomena gelora sangat rumit. Tetapi fenomena tersebut dapat difahami dan dijelaskan melalui seni lukisan Vincent Van Gogh (1853 - 1890). Ambil salah satu contoh lukisannya, iaitu 'Starry at Night'. Pada Jun 1889, Van Gogh telah melukis sebuah pemandangan waktu subuh di rumah sakit jiwa di Saint Paul de Mausole. Dia dimasukkan ke situ setelah mengaku mencacatkan telinganya sendiri. Pada hari itu terhasillah lukisan seperti di bawah.

Starry at Night

Van Gogh menggambarkan cahaya berbeza daripada artis-artis lain. Maksudnya, penglihatan beliau tidak sama seperti manusia normal. Terdapat bahagian paling primitif pada visual cortex otak yang mampu memproses kilauan dan pergerakan cahaya. Warna cahaya yang berbeza akan bergabung seperti gelora (akibat gerakan) apabila cahaya berbeza tersebut mempunyai kilauan yang sama. Tetap bahagian utama otak kita melihat cahaya tersebut tidak bergabung walaupun mempunya kilauan yang sama. Cahaya yang diproses oleh otak Van Gogh agak berbeza daripada mansia normal.

Van Gogh melihat cahaya menggunakan kedua-dua bahagian otak tersebut, lalu terhasillah gelora pada lukisannya yang menggambarkan gerakan cahaya dan imej yang agak tak stabil dan pelik.

Pada tahun 1949, Andrey Kolmogorov (1903 - 1987) telah menerbitkan kertas kerja yang memaparkan analisis matematik bagi fenomena gelora. Sebelum beliau, telah ramai saintis cuba untuk membina asas matematik untuk fenomena tersebut, tetapi masih tidak mencapai objektif. Teori Kolmogorov menjelaskan bagaimana tenaga eddy (pusaran) bergerak daripada saiz yang kecil kepada saiz yang besar, menjelaskan berapa banyak tenaga yang dilepaskan bagi setiap saiz eddy. Eksperimen yang dijalankan hampir menepati analisis matematik Kolmogorov. Walau bagaimanapun ia masih belum menyelesaikan masalah gelora dalam fizik.

Andrey Kolmogorov

Pada tahun 2004, dengan menggunakan teleskop Hubble, saintis telah memerhati pusaran gas dan debu di angkasa. Lalu, ia mengingatkan kepada mereka tentang lukisan 'Starry at Night' oleh Van Gogh. Kemudian, ia menjadi motivasi kepada saintis di seluruh dunia untuk mengkaji lukisan Van Gogh dengan lebih mendalam utnuk menjelaskan fenomena gelora. Mereka menemui, terdapat hampir persamaan struktur corak aliran gelora pada lukisan Van Gogh dan persamaan matematik Kolmogorov. Kemudian, saintis mendigitalkan lukisan tersebut, lalu mereka menemui gelora pada lukisan Van Gogh menyamai prinsip gelora yang digambarkan oleh ahli fizik.

Lukisan pusaran Van Gogh agak unik. Ada juga lukisan terkenal yang bertema gelora dan pusaran seperti 'The Scream' oleh Edvard Munch, tetapi ia langsung tidak mempunyai persamaan dengan fenomena gelora alam. Van Gogh bukan sahaja memberikan sumbangan dalam bidang seni, malah dalam bidang sains juga kerana keunikan otak dalam memproses pantulan cahaya.

Wednesday 27 January 2016

Kebangkitan Awal Kristian di Eropah dan Kejatuhan Paganism


Latar Belakang

Ajaran Nabi Isa a.s atau Jesus bermula di Palestin dan disampaikan kepada kelompok Yahudi. Pada masa ini, pelbagai kepercayaan telah lama bertapak, mahupun dalam kelompok Yahudi ataupun mana-mana kelompok di bahawa Empayar Rom. Dalam tempoh masa tertentu setelah Nabi Isa a.s diangkat ke langit, ajarannya dipesongkan sehingga memunculkan doktrin dan aliran tertentu.

Sebelum Empayar Rom meluas hingga ke Timur, golongan elit seperti raja dan Senator mengamalkan sikap toleransi terhadap pelbagai kepercayaan. Perkara ini tidak menghairankan kerana pelbagai kepercayaan diamalkan oleh subjek empayar mempunyai bentuk kepercayaan yang sama iaitu Paganism. Ketika Rom meluaskan empayar ke Timur sehingga ke Palestin, berlaku pertembungan antara Kristian dan Pagan. Pada awalnya, maharaja melihat Kristian sama seperti kepercayaan-kepercayaan lain.

Empayar Rom


Setelah berlaku peristiwa diaspora, iaitu pembuangan bangsa Yahudi daripada Tanah Palestin, Kristian semakin tersebar luas di sekitar Empayar Rom. Kristian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana kepercayaannya yang lebih menjanjikan daripada Pagan.

Kristian mula menarik ramai pengikut ketika kurun ke-4 masihi. Ketika berlakunya pergolakan politik yang melampau dan masalah ekonomi, masyarakat mula menganggap kehidupan di dunia ini sebagai sebuah ilusi dan mereka memberikan harapan kepada dunia yang melangkaui dunia yang mereka diami. Tubuh manusia dan dunia material dianggap sebagai bentuk kejahatan atau asasnya tidak nyata (Judith J. Coffin, Robert C. Stacey, Robert E. Lerner, Standish Meacham, 2002).

Penaklukan tentera Rom berjaya menghubungkan mereka dengan pelbagai jenis agama. Latihan membentuk ketenteraan di tempat yang ditakluk untuk berkhidmat di bawah pusat yang terletak jauh di pelusuk empayar, dan kesediaan populasi tersebut untuk adaptasi budaya baru, telah membantu penyebaran pelbagai fahaman agama ke seluruh dunia yang diketahui. Di bawah Caesar, terdapat kelompok Barbar yang menyebah demi-god mereka; ahli falsafah yang sedang mencari Tuhan yang Esa; Yahudi yang menunggu Messiah; ahli Mistik Timur, terutamanya yang menganut dua kepercayaan utama; Kristian dari Judea dan ahli Mithraist yang berada di luar Jordan. Akhir sekali, penyembah matahari dari Parsi, telah membentuk kultis seperti Dr. Brigg memanggilnya, "Kepercayaan paling tulen dan paling ditinggikan daripada agama-agama bukan berlandaskan al-Kitab." (A.E. Wilson, 1914).




Tentangan Kristian Terhadap Pagan dan Konsep Kedewaan Maharaja

Maharaja-maharaja Rom dianggap sebagai mandat daripada tuhan, dianggap dewa ataupun anak tuhan. Kepercayaan dan konsep ini diperkuatkan ketika zaman pemerintahan Diocletian (244 - 311). Mengiktiraf kepercayaan ini tidak menjadi masalah kepada masyarakat Pagan walaupun kepercayaan mereka pelbagai, tetapi sebaliknya pada komuniti Kristian. Penyembah Jupiter tidak mempunyai masalah dengan penyebah Isis, dan penyembah Mithra tiada masalah dengan penyembah Cybele. Tetapi Kristian mencemuh tuhan-tuhan ini semua termasuk konsep kedewaan maharaja.

Pada kurun ke-2 hingga ke-3 masihi, kestabilan empayar goyah dan kedewaan maharaja tercabar. Mahajara Rom melihat Kristian sebagai ancaman ketenteraman awam kerana keengganan Kristian mengiktiraf kedewaan mahajara-mahajara dan kewujudan para tuhan Rom. Decius (201 - 251) telah memulakan penindasan besar-berasaran ke atas Kristian, tetapi tempoh itu tidak panjang kerana pemerintahan beliau yang pendek. Dalam usaha untuk mengembalikan kestabilan empayar dan menekankan kedewaan maharaja, Diocletian juga melakukan penindasan. Beliau memerintahkan setiap orang melakukan korban kepada berhala dan wakil maharaja, dan sesiapa yang tidak menurut arahan akan dianggap sebagai penjenayah (John M. Riddle, 2008).

Maharaja Diocletian

Penindasan yang melanda Kristian berlanjutan, walaupun tidak kerap, hingga 250 tahun bermula pada zaman Maharaja Nero (37 - 68), Seramai 9 orang maharaja yang melakukan penindasan ke atas Krisitan. Paling hebat ketika zaman Decius dan Diocletian.

Polisi tetrarchy yang diterapkan oleh Diocletian, Empayar Rom diwarisi oleh empat orang maharaja. Salah daripadanya adalah Constantius I (250 - 306) yang telah meninggalkan kepercayaan Pagan dan menganut Deism yang diamalkan oleh ahli-ahli falsafah. Komuniti Kristian yang tinggal di kawasan pemerintahan beliau berada dalam keadaan selamat daripada penindasan. Tambahan lagi, Constantius I memihak kepada Kristian.

Setelah kematian Constantius I, wilayah kekuasaannya jatuh ke tangan anaknya, Constantine I (272 - 337) dan ini telah menimbulkan perang sivil antara maharaja. Pertelingkahan ini bukanlah hanya kerana faktor kenaikan takhta Constantine I semata-mata, tetapi pencabulan polisi tetrachy yang dikenakan ke atas maharaja-maharaja lain juga. Kejayaan Constantine I dalam perang sivil tersebut akhirnya menjadikannya maharaja tunggal Empayar Rom. 



Perintah Toleransi Kepelbagaian Agama

Terdapat peristiwa penting yang berlaku sebelum Constantine I mencapai kemenangan yang mengubah kedudukan Kristian. Beliau dan Licinius (250 - 325) telah mengeluarkan Edictum Mediolanense atau Perintah Milan yang mewartakan bahawa setiap orang di bawah Empayar Rom diberikan kebebasan beragama tanpa menindas kepercayaan orang lain. Perintah ini juga dinamakan sebagai 'Perintah Toleransi' kerana sikap toleransi dengan kepelbagaian agama. Dalam perintah tersebut, terdapat teks yang menulis 'Kristian' sebagai agama yang berasingan dengan agama-agama lain. Dengan sebutan, "Kristian dan mana-mana kepercayaan", menunjukkan perintah ini utnuk memberikana layanan yang baik kepada Kristian. Tambahan lagi, Kristian merupakan kepercayaan baru yang berpengaruh pada masa itu dan ia berbeza dengan Pagan.

Maharaja Constantine I

Masih tidak jelas apakah pendirian sebenar Constantine I terhadap kepercayaan tradisi masyarakat Rom. Apa yang pasti, Pagan masih bebas melakukan upacaya mereka, pada masa yang sama Constantine I cuba mendorong Pagan ditinggalkan. Sejak itu, Kristian menjadi tulang belakang perpaduan dan penyatuan empayar walaupun Kristian juga mengalami perpecahan doktrin. Perpecahan ini begitu kronik dan kritikal sehingga mencetuskan rusuhan dan pembunuhan.

Selepas Kristian mendapat mengiktirafan rasmi, kedudukan Pagan semakin terancam. Tambahan lagi, maharaja adalah seorang Kristian. Terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh maharaja-maharaja selepas Constantine I yang menyebabkan pengaruh Pagan semakin menyusut. Walaupun kadangkala, usaha itu tidak mendapat perhatian sangat kerana terdapat golongan elit yang masih menganut Pagan, selain Kristian sendiri mempunyai masalah perpecahan.



Julian dan Theodosius

Julian (331 - 363) digelar sebagai 'murtad' oleh komuniti Kristian kerana cuba menghidupkan kembali suasana Pagan. Beliau merupakan seorang Neo-Platonis dan falsafahnya membuatkan Pagan lebih menjadi tarikan Julian berbanding Kristian. Kalau ikut kebiasaan, Neo-Platonism dan Pagan akan dianuti salah satu daripadanya, tetapi Julian menganut kedua-duanya sekali. 

Mata wang Maharaja Julian

Kesan pemerintahan Julian ke atas Geraja agak berbeza daripada apa yang beliau sangkakan. Pada asalnya, adalah untuk bersikap toleransi ke atas kepelbagaian agama,. Tetapi toleransi ini seperti memberikan tekanan kepada Gereja (J.W.C Wand, 1937). Julian telah mengambil pendekatan dengan fungsikan semula kuil-kuil yang telah ditutup dan dirampas oleh empayar. Tidak membenarkan pendeta Kristian berceramah bebas kepada komuniti Pagan. Para Biskop yang dibuang, dipnaggil semula. Julian cuba meniru kemajuan Kristian dalam menguruskan organisasi dan pendekatan sosial mereka dan aplikasikan dalam komuniti Pagan. Usahanya berakhir seiring dengan hayat beliau.

Maharaja Theodosius I memberikan penangan terakhir kepada Pagan. Beliau menjalankan sistem yang sistematik utnuk membanteras aktiviti-aktiviti Pagan. Pada tahun 381 masihi, upacaya korban diharamkan. Pada tahun 391 masihi, dua buah undang-undang dikuatkuasakan oleh Maharaja Valentinian II (371 - 392), iaitu mengharamkan penggunaan kuil-kuil dan pemujaan berhala. Tahun berikutnya, Theodosius I mengeluarkan undang-undang hukuman yang dikenakan kepada mereka yang melakukan apa-apa upacara yang berkaitan dengan agama Pagan.

Agama Pagan tumbang, tetapi aktiviti mereka masih berterusan di sebalik bayang kemajuan Kristian. Di rumah dan luar kota, aktiviti Pagan dilakukan secara tersembunyi dan selamat. Cunctos Populos atau 'Perintah Thessalonica' dikeluarkan pada tahun 308 masihi telah menjadikan Kristian sebagai agama rasmi empayar. Seterusnya, Kristian banyak mempengaruhi landskap politik dan sosial empayar.