Friday 29 January 2016

Asal-usul idea 'Renaissance'.

Latar Belakang

Renaissance sangat popular dalam kalangan masyarakat. Dikenali sebagai permulaan era kemajuan dan pembaharuan di Barat. Mungkin ramai tidak tahu hakikat sebenar kewujudan era tersebut seperti yang difahami oleh masyarakat. Ia menjadi polemik dalam kalangan sejarawan berkenaan idea Renaissance. Kita tidak akan menyelesaikan perbezaan tersebut, tetapi akan kita akan menjelaskan mengapa boleh berlaku perbezaan ini dalam konteks historiografi (penulisan sejarah).

Perbincangan asal-usul idea Renaissance lebih menumpu pada penuisan sejarah itu sendiri, kerana idea itu wujud secara signifikan dalam konteks tersebut. Samalah juga seperti idea 'Zaman Gelap' dan 'Zaman Pencerahan'.

Florence, Itali. Bandar kelahiran Renaissance


Evolusi Renaissance.

Perkataan 'Renaissance' berasal dari Perancis yang bermaksud 'kelahiran semula' atau 'pembaharuan'. Gerakan yang dikenali sebagai Renaissance ini bermula daripada seorang individu Itali yang bernama Francesco Petrarch (1304 - 1364) yang dianggap sebagai pencetus Renaissance. Petrarch merupakan seorang yang beraliran Humanis. Humanism berperanan membawa kembali kegemilangan paling tinggi yang pernah dicapai oleh tamadun manusia, sepesifiknya kegemilangan intelektual dan budaya ketika Zaman Rom dan Yunani. Kebanyakan sejarah awal Barat ditulis oleh kelompok Humanis. Pada kurun ke-17 hingga ke-19, barulah sejarah Barat ditulis oleh kelompok-kelompok lain seperti Rasionalis, Protestan, dan ahli falsafah.

Francescro Petrarch
Tradisi awal Humanis di Itali dalam menulis sejarah adalah secara umum. Kebiasaannya mereka menulis sejarah manusia bermula pada permulaan masa menurut tafsiran mereka sendiri. Pada waktu itu, ajaran Kristian sangat berpengaruh, maka sejarah manusia ditulis seawal penciptaan Nabi Adam a.s. Kandungan penulisannya juga dipengaruhi oleh teks-teks yang terkadung di dalam Bible dan lebih bercirikan keagamaan. Tujuan penulisan ini dalah untuk menjelaskan kerja Tuhan ke atas manusia sepanjang zaman.

Peringkat seterusnya, Humanis telah berevolusi dalam historiografi sehingga menimbulkan jurang antara penulis dari kelompok Humanis dan penulis sejarah yang biasa. Kini, Humanis lebih menumpukan peranan mereka dalam menulis sejarah politik dan ketenteraan. Mereka juga telah mengecilkan skop dengan hanya menulis mengenai sejarah negara mereka sahaja sejak kejatuhan Rom pada tahun 410 masihi. Mereka mula mewujudkan konsep pembahagian zaman seperti istilah 'Zaman Kuno' dan 'Zaman Moden'. Tentulah kita faham, tempoh yang ditetapkan untuk 'Zaman Moden' oleh mereka tentu tidak sama dengan tempoh yang ditetapkan oleh sejarawan kontemporari.

Antara sejarawan awal yang memulakan konsep sedemikian adalah Giovanni Villani (1276 - 1348) yang menulis mengenai sejarah bandarnya dan cuba untuk membina era-era yang betul untuk sejarah bandarnya. Walau bagaimanapun, Villani masih mempunyai unsur teologi dalam penulisannya. Beliau menulis sejarah bermula dengan peristiwa Kota Babel.

Giovanni Villani

Petrarch berperanan memperkenalkan istila era 'antiqua' dan era 'nova'. Era antiqua lebih dikenali sebagai 'Era Kuno' yang didefinisikan oleh Peterarch sebagai waktu sebelum kejatuhan Rom. Era Nova pula bermaksud 'Era Moden', tetapi Petrarch sering memanggilnya sebagai 'tenebra' yang bermaksud 'gelap' dan 'dibayangkan'. Beliau mula menukar idea historiografi yang berkonsepkan teologi kepada konsep kebudayaan. Penukaran ini merupakan sebuah tafsiran sekular dalam penulisan sejarah.

Leonardo Bruni (1370 - 1444) merupakan salah seorang Humanis pertama yang membahagikan sejarah kepada tiga zaman dalam penulisannya, iaitu Zaman Kuno, Zaman Pertengahan dan Zaman Moden. Tarikh yang didefinisikan oleh Bruni untuk ketiga-tiga zaman tersebut tidak seperti yang digunakan oleh sejarawan moden. Tetapi beliau telah mendirikan asas tersebut dalam historiografi.

Leonardo Bruni

Selain Bruni, Humanis lain seperti Flavio Biondo (1392 - 1463), Giovanni Boccaccio (1313 - 1375), dan Filippo Villani juga telah meletakkan garisan tertentu sebagai pemabahagian era-era dalam sejarah manusia. Biondo menandakan zaman sebelum kejatuhan Rom sebagai Zaman Kuno. Beliau melihat pembaharuan mula berlaku di Itali bermula pada tahun 1412 masihi. Maka, bermula dari 412 masihi hingga 1412 masihi menandakan Zaman Pertengahan menurut Biondo.

Merekalah sejarawan awal yang membahagikan zaman-zaman tersebut. Pandangan mereka mengenai Renaissance hanyalah terbatas pada peringkat kebangkitan intelektual dan seni budaya, bukan sebuah era yang mempunyai ciri unik yang mampu mencapai kelas seperti era Kuno ataupun era Pertengahan.

Pada kurun-kurun berikutnya, idea pembaharuan dan Humanism semakin tersebar luas ke negara-negara jiran seperti Perancis dan Jerman. Historiografi tidak mempunyai perbezaan ketara di negara-negara luar Itali kecuali Jerman yang tidak gemar membahagikan sejarah mengikut zaman. Idea Renaissance sebagai sebuah era tidak pernah berputik dalam tulisan-tulisan Humanis kerana ia hanyalah sebahagian daripada Zaman Moden.



Idea Renaissance

Kelompok Humanis merupakan kelompok awal yang menggerakkan idea Renaissance. Namun begitu, objektif gerakan mereka bukanlah menumpu ke arah pembaharuan sosio-budaya secara keseluruhan. Mereka hanyalah peminat karya-karya klasik. Mereka mencari dan mengumpulkan karya-karya tersebut. Mereka lebih kepada individualism daripada bersifat gerakan kelompok.

Aktiviti mereka dapat dijejak lebih awal daripada era Petrarh, tetapi tidak meluas. Selalunya yang masih mengekalkan dan menjaga teks-teks Rom dan Yunani dalah Gereja, itu pun tidak terlalu aktif. Aktiviti Humanis memberikan kesan pada pendidikan, sastera, kesenian, seni bina dan intelektual setempat di Itali.

Pada abad ke-19, ahli sejarah dalam kalanagn artis merupakan kelompok pertama yang mempopularkan idea Renaissance. Mereka telah melihat Renaissance sebagai sebuah era yang mempunyai ciri tersendiri. Ini tidak hairan kerana budaya seni mengalami sebuah kebangkitan dan pembaharuan yang pesat. Dalam sejarah politik, idea Renaissance masih lagi belum wujud.

Sejarawan Perancis, Jules Michelet (1789 - 1874) melihat Renaissance sebagai era yang mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan manusia, bukan sekadar era kesenian dan intelektual. Dalam karyanya 'Le France' menyatakan, Renaissance mempunyai definisi yang luas sebagai titik tolak dalam sejarah Barat. Walaupun begitu, Michelet hanya menumpu pada sejarah Perancis pada kurun ke-16, bukan seluruh sejarah Barat. Selepas Michelet, John Addington Symonds (1840 - 1893) meneruskan idea Michelet dengan menulis karya sejarah Renaissance yang berpengaruh seperti The Renaissance, An Essay (1863) dan Renaissance in Italy (1886).

Jules Michelet
Sejarawan Swiss, Jacob Burckhardt (1818 - 1897), menghuraikan dan menyatakan bahawa Renaissance meurupakan keunci era dalam sejarah Eropah bermula dari Itali. Renaissance seperti yang dipaparkan oleh Burckhardt dalam karyanya, 'The Civilization of the Renaissance in Itali' merupakan pivot penting di mana budaya Eropah berubah menjadi budaya baru. Aspek penting mengenai perubahan ini adalah kebangkitan pengajian teks dan budaya kehidupan klasik lalu melahirkan Renaissance dan permulaan Zaman Moden. Kebangkitan di Itali pada waktu itu menjadi prototaip yang membentuk budaya moden di Barat.

Walaupun sebahagian Burckhardtian (pengikut Burckhardt) sebahagiannya mengubah konsep yang diketengahkan oleh Burckhardt sendiri, tetapi asas idea asal itu masih ada iaitu Renaissance sebagai era yang mampu berdiri sendiri. Penulis sejarah dalam bidang-bidang lain seperti ekonomi, politik, sosiologi, psikologi dan falsafah yang bersetuju dengan aliran Burchkhardtian mendorong perkembangan idea Renaissance yang mencapah pelbagai aspek kehidupan manusia.

Jacob Burckhardt


Selepas itu wujud istilah 'Northern Renaissance' bagi merujuk Renaissance yang berlaku di negara-negara jiran seperti Perancis, Jerman dan England. Negara-negara tersebut mempunyai tafsiran tersendiri mengenai Renaissance, tetapi tidak lari daripada tiga asas utama. Pertamanya, Renaissance bermula dari Itali dan seterusnya tersebar ke utara lalu membawa perubahan kepada negara tersebut. Keduanya, kebangkitan budaya klasik yang menjadi faktor dominan. Ketiganya, Renaissance sebagai penanda pengakhiran tamadun zaman pertengahan dan permulaan dunia moden.

Okeylah, sampai sini saja. Perbahasan seterusnya akan ditulis pada entri akan datang yang akan menjelaskan tentang kelompok ahli sejarah yang tidak bersetuju dengan idea Renaissance.



No comments:

Post a Comment