Friday 29 January 2016

Simbol Penyatuan Matematik, Seni, Agama, Falsafah dan Seni Bina


Latar Belakang

Gambar yang di bawah merupakan lukisan Leonardo Da Vinci (1452 - 1519), tokoh yang dikenali menguasai banyak bidang. Juga digelar sebagai 'The Renaissance Man'. Semasa kali pertama melihat lukisan ini, aku fikirkan ia adalah semata-mata lukisan yang memamparkan ilmu yang berkaitan dengan anatomi dan perubatan. Tetapi itu silap. Asal usul timbulnya lukisan ini bermula apabila ahli geometri pada masa itu mencabar mana-mana intelektul untuk memetakkan bulatan dengan keluasannya sama dengan keluasan segi empat sama.

Leonardo Da Vinci

Untuk menyelesaikan masalah tersebut, Da Vinci mendapat idea daripada nota seorang arkitek Rom, Marcus Vitruvius (75 BC -  selepas 15 BC). Vitruvius menyatakan bahawa navel (pusat) manusia merupakan pusat (centre) tubuh badan manusia. Daripada pusat tersebut, bulatan dapat dilukis dengan sempurna menggunakan kompas (kompas alatan matematik). Seterusnya, bentuk empat segi dapat dilukis mengikut tubuh badan seperti yang ditunjukkan pada gambar. Akhirnya, bentuk segi empat dan bulat dapat keluasan yang sama. Lalu, terhasillah lukisan Vitruvian Man pada tahun 1490 masihi.

Vitruvian Man


Chain of Being

Ceritanya tidak habis sampai di situ. Terdapat perkara yang menarik tersirat disebalik Vitruvian Man. Ketika Zaman Renaissance, terdapat gerakan intelektual di Itali yang dikenali sebagai Neo-platonism yang mengemukakan konsep 'Chain of Being'. Idea ini menyatakan, hierarki kehidupan alam menyerupai seutas rantai. Rantai tersebut bermula daripada Tuhan, kedudukan tertinggi, seterusnya malaikat, planet, haiwan sehinggalah bawah sekali, syaitan. Manusia berada di tengah-tengah pada rantai tersebut. Manusia berada di tengah-tengah kerana sifat tubuhnya yang binasa tetapi rohnya tidak.

Chain of Being

Seorang tokoh Neo-platonis, Giovanni Mirandola (1463 - 1494) mempunyai idea yang berbeza berkenaan konsep tersebut. Beliau menyatakan manusia mampu berada di mana-mana kedudukan pada rantai tersebut. Manusia berada di posisi bawah dengan melakukan kejahatan seperti syaitan. Manusia juga mampu berada di posisi atas dengan melakukan kebaikan seperti malaikat.

Jadi, apa kaitannya dengan lukisan ini?


Simbol Penyatuan

Vitruvian Man mampu berubah-ubah untuk membentuk suatu bentuk yang dikehendaki. Apabila tubuhnya berdiri tegak dan dibuka tangannya, dia dapat membentuk segi empat. Apabila dia membintangkan dirinya, dia dapat membentuk bulatan. Sama seperti idea yang diusulkan oleh Giavanni yang menyatakan manusia boleh berubah-ubah.

Sekiranya geometri (matematik) adalah bahasa alam, maka manusia boleh wujud daripada apa sahaja bentuk daripada elemen matematik. Sama ada wujud secara matematiknya ataupun falsafahnya. Daripada lukisan ini, jelas menunjukkan gabungan beberapa idea keilmuan, iaitu falsafah, matematik, kesenian, seni bina dan agama.

2 comments: