Tuesday 11 August 2015

Sangkaan Anda Terhadap Newton Akan Berubah Setelah Membaca Artikel Ini

Potret Isaac Newton pada tahun 1689 oleh Sir Godfrey Kneller (1642-1727)

Walaupun Isaac Newton lebih terkenal dalam dunia sains, tetapi sepanjang hidupnya, beliau lebih banyak menghabiskan masa kajiannya dalam bidang teologi, iaitu bidang konsep keTuhanan dan idea agama. Malah, karya teologinya lebih banyak daripada sains.

Saya menyelusuri sedikit demi sedikit mengenai pandangan Newton dalam agama, khususnya Kristian. Pada era Renaissance, masih terdapat kelompok besar masyarakat yang memegang kepercyaan agama berkonsepkan autoriti. Kata mudahnya, mempercayai apa yang agamawan kata, tanpa menyoal. Penglibatan Newton dalam sains yang memerlukan kajian empirik dan 'menyoal' dalam mencari kebenaran, telah terbentuk juga sifat ini dalam kajian teologinya.

Tiada siapa yang tahu bagaimana kepercayaaan sebenar Newton. Tambahan lagi, orang baru tahu Newton menolak Triniti selepas kematiannya dan dilabel sebagai 'heretic' iaitu pengamal bida'ah. Sepanjang hidup, Newton menyembunyikan kepercayaannya, kerana pada waktu itu, kepercayaan yang berbeza dengan autoriti boleh mengundang hukuman dan kematian.

Secara ringkas pandangannya yang dapat saya garap adalah, penyembahan terhadap Jesus dan meletakkan Jesus sebagai Tuhan dianggap sebagai menyembah berhala (idolatry) dan dosa syirik. Newton menolak aliran Athanasian, iaitu aliran Ortodoks yang membawa ajaran Triniti. Terjemahan Newton ke atas Bible membongkar ajaran terpesong yang dibawa oleh autoriti Gereja. Perjuangannya seperti Martin Luther (1483-1546), tetapi beliau bukan Lutheran, apatah lagi Protestan. Kerana, Protestan masih percaya dengan konsep Triniti, tetapi menolak amalan karut seperti indulgence. Newton menolak kedua-duanya. Di sini dapat dilihat, kajian kritikal antara Newton dan Luther. Disebabkan bahan kajian Newton bukan sahaja terikat pada Bible, malah teks-teks lama, boleh jadi Injil asal ada di tangannya juga.

Newton melarang orang lain menggunakan Hukum Gravitinya sebagai sebuah sistem yang menggerakkan alam seperti mekanik jam gergasi. Bagi beliau, sains hanya dapat menjelaskan bagaimana alam bergerak, bukan siapa yang menggerakkan alam itu. Walau bagaimanapun, hal itu membawa kepada kepercayaan Newton bahawa alam ini tidaklah bergerak dengan sendiri melainkan ada Penciptanya.

Kepercayaan ini berbeza dengan Stephen Hawking yang baginya alam ini seperti jam gergasi dan sainslah yang menggerakkanya sebagai sebuah entiti 'Supreme Being'. Baginya, sains akan menang melawan agama dalam menggambarkan realiti alam.

Perbincangan ini boleh mambawa kepada perbincangan antara saintism dan 'true knowledge'. Ada kelebihan sebenarnya seseorang individu menguasai sains (Work of God) dan agama (Word of God).

No comments:

Post a Comment